PETALING JAYA: Pelakon Gerak Khas, Farid Amirul Hisham Abdullah,44, atau lebih dikenali sebagai Detektif Lim dalam drama bersiri itu terpaksa bekerja sebagai pam atendan selepas dituduh mencuri dua buah buku pada Mac tahun lalu.
Farid berkata bukan sahaja trauma dengan kejadian berkenaan sebaliknya dia juga dibuang keluarga sementara kekasihnya turut meminta untuk memutuskan hubungan. “Hidup saya selepas dituduh mencuri buku menyebabkan saya hilang pekerjaan. Watak saya dalam drama bersiri Gerak Khas terpaksa direhatkan. Saya hanya bekerja di sebuah stesen minyak di Alor Gajah, Melaka. “Lebih sedih lagi ibu dan bapa juga menyisihkan saya manakala kekasih saya turut memutuskan hubungan,” katanya seperti dipetik akhbar Mingguan mStar keluaran Ahad.
Pada 24 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan hukuman dua bulan penjara dan denda RM2,000 yang dijatuhkan terhadap Farid bagi kesalahan mencuri dua buah buku di pusat beli-belah Mid Valley, Megamall, Kuala Lumpur. Dia dibebaskan selepas mahkamah mendapati tiada bukti yang menunjukkan kedua-dua buah buku itu dicuri oleh tertuduh.
Jelas Farid, ketika menghadapi tekanan itu, dia juga sering disindir oleh orang ramai yang menuduhnya sebagai pencuri manakala syarikat-syarikat produksi pula takut untuk menawarnya berlakon sedangkan dia tidak digam oleh mana-mama stesen penyiaran termasuklah RTM. “Begitu juga dengan drama Gerak Khas, Datuk Yusof Haslam terpaksa merehatkan saya atas arahan pihak polis di Bukit Aman. “Pernah sekali saya terfikir, mungkin karier seni saya akan berakhir disebabkan kejadian yang berlaku ini sehingga membuatkan saya hilang pekerjaan dalam bidang seni. “Saya ralat kerana kejadian ini juga memberi kesan kepada keluarga, majikan dan rakan-rakan saya,” katanya.
Ujian yang berlaku itu ujar Farid, menyebabkan dia hidup dalam kesusahan dan menghadapi kesempitan wang sehinggalah Datuk Yusof Haslam memintanya bekerja di belakang tabir sebagai penolong pengarah drama.
Katanya, selepas dua bulan bekerja di stesen minyak, akhirnya dia meletakan jawatan untuk meneruskan kerjayanya di belakang tabir bagi projek drama Roda-Roda Kuala Lumpur dan Aku Bukan Tomboy. Bercerita bagaimana ibu dan bapa menyisihkannya, ujar Farid mereka amat kecewa dan malu dengan kejadian itu dan tidak menerimanya sebagai anak mereka.
“Emak dan ayah juga enggan bercakap dengan saya selama setengah tahun. Setiap kali saya telefon, mereka tak mahu jawab. Kadang-kala bila mereka terjawab panggilan, telefon akan diserahkan kepada adik beradik saya yang lain.
“Tapi itulah, air yang dicincang tidak akan putus. Lama kelamaan, mereka sudah boleh menerima hakikat dan tahu hal yang sebenar,” katanya. Ujarnya dia mendapat pengajaran daripada kes yang berlaku dan nasihat Farid kepada para selebriti agar sentiasa peka dan sensitif apabila berada di mana-mana.
“Saya akui selalu mengambil buku yang banyak di kedai-kedai buku dan mencari sudut sesuai untuk membacanya. Tapi apabila kita berbuat seperti itu di sesetengah kedai buku pihak berkenaan akan pandang serong dan mula mengesyaki kita hendak mencuri. “Keadaan ini mengajar saya menjadi lebih peka dengan keadaan sekeliling apatah lagi saya seorang artis.. Cukuplah sekali ini sahaja. Saya tak sanggup mengharunginya lagi,” katanya mengakhiri perbualan.
* Artikel ini dipetik dari Mingguan mStar yang diterbitkan setiap Ahad bersama Sunday Star, sekitar Lembah Kelang.
No comments:
Post a Comment