Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
Beramal semata-mata kerana Allah SWT, itulah yang dituntut.
- Gambar hiasan
PADA minggu ini kita akan membincangkan tentang perbuatan mengambil perantara ataupun orang tengah dalam hubungan dengan Allah. Perkataan yang sering digunakan untuk isu ini ialah wasitoh (juga dieja wasitah). Ramai orang salah faham dalam memahami maksud sebenar wasitoh. Mereka menjatuhkan hukum secara sembarangan bahawa semua wasitoh itu membawa kesyirikan dan sesiapa yang menggunakan wasitoh dengan apa jua cara sekalipun, maka dia telah melakukan kesyirikan terhadap Allah.
Mereka meletakkan kedudukan orang yang berwasitoh sama seperti kaum musyrikin yang mengatakan: Kami tidak menyembah atau memujanya (berhala) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya. (al-Zumar: 3) Inilah ayat yang sering digunakan oleh para penentang terhadap wasitoh dan konsep yang seumpamanya seperti tawassul (mengambil wasilah) dan tasyaffu' (memohon syafaat).
Perkataan ini sebenarnya tertolak dan kerana mereka memahami ayat tersebut bukan pada tempatnya. Ini kerana ayat di atas dengan jelas menolak perbuatan kaum musyrikin yang menyembah berhala dan menjadikannya sebagai tuhan sembahan mereka selain Allah SWT. Bahkan, mereka juga menyekutukan Allah dari aspek rububiyyah (kuasa mentadbir dan mencipta) seraya mengaku bahawa penyembahan yang mereka lakukan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan sedekat-dekatnya.
Maka, kekufuran dan kemusyrikan mereka dilihat dari sudut penyembahan mereka terhadap berhala-berhala itu dan turut disertai dengan i'tiqad mereka bahawa berhala tersebut adalah tuhan Arbab (Pentadbir-pentadbir alam) selain Allah SWT.
Dari sini terdapat suatu masalah penting yang perlu dijelaskan. Ayat tersebut membuktikan orang-orang musyrik tersebut tidak bersungguh-sungguh pada dakwaan mereka menyembah Allah SWT, sebagaimana yang dikisahkan di dalam al-Quran berkenaan dengan penyembahan mereka terhadap berhala: Kami tidak menyembah atau memujanya (berhala) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya. (al-Zumar: 3)
Jika kenyataan mereka adalah benar dan jujur, pasti mereka akan menganggap bahawa Allah lebih agung di sisi mereka daripada berhala-berhala dan mereka tidak akan menyembah selain Allah. Tetapi, mengapa mereka menyembah selain Allah? Allah SWT juga melarang kaum Muslimin daripada menghina berhala-berhala yang mereka sembah itu melalui firman-Nya: Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan mereka kembali, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan. (al-An' aam: 108)
Diriwayatkan oleh Abdur Razzaq, Abd ibnu Humaid, Ibnu Jarir, Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan Abu al Syeikh, daripada Qatadah RA, berkata: "Dahulu, umat Islam pernah memaki berhala-berhala milik orang-orang kafir, maka orang-orang kafir itu pun mencela Allah SWT. Maka Allah menurunkan ayat di atas.
Inilah sebabnya ayat tersebut diturunkan. Dengan tegas, orang-orang Mukmin dilarang mencela dan merendah-rendahkan batu-batu yang disembah oleh kaum penyembah berhala di Mekah. Perbuatan tersebut hanya akan menimbulkan kemarahan mereka dan mereka pasti akan membela tuhan-tuhan yang mereka yakini melalui hati yang tuli bahawa tuhan-tuhan itulah yang berkuasa memberikan manfaat dan menolak kemudaratan.
Apabila mereka marah, mereka akan membalas sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Muslimin. Maka mereka akan mencela Tuhan umat Islam, iaitu Tuhan Semesta Alam dan akan melemparkan bermacam-macam perkataan yang merendah-rendahkan Allah SWT, sedangkan Allah itu suci daripada segala kekurangan.
Jika mereka benar-benar jujur bahawa penyembahan mereka terhadap berhala-berhala itu hanya untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah, sudah pasti mereka tidak akan berani memaki Allah sebagai membalas dendam terhadap orang yang memaki sembahan-sembahan mereka. Maka dengan ini, amat jelas, bahawa Allah dianggap lebih kecil dan lebih rendah pada diri kaum musyrikin daripada batu-batu yang mereka sembah itu!
Daripada sikap yang sedemikian, Abu Sufyan pernah mengatakan sebelum memeluk agama Islam: Tinggikan tuhan Hubal. (riwayat Bukhari) Abu Sufyan menyeru tuhannya yang bernama Hubal supaya ia ditinggikan dan dapat menguasai Tuhan Pentadbir langit dan bumi (Allah) agar dia dan juga tenteranya dapat mengalahkan tentera Islam yang mahu mengalahkan dan menghancurkan tuhan-tuhan mereka. Beginilah keyakinan dan pendirian mereka yang sebenar terhadap berhala-berhala mereka dan terhadap Allah, Tuhan Yang Mentadbir semesta alam.
Kesimpulannya, jika kita ingin bersikap secara adil, ilmiah dan objektif terhadap isu ini, kita harus memahami benar-benar bezanya wasitoh yang berbentuk syirik seperti yang dilakukan oleh para kafir musyrik penyembah berhala dan wasitoh yang tidak berunsur syirik yang ada tempatnya dalam kerangka Islam.
Insya-Allah, dalam minggu hadapan kita akan menghuraikan pula tentang wasitoh jenis kedua ini. - Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment